Taib berharap komuniti bukan Melayu dapat menguasai Bahasa Malaysia

Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. - file pic
Advertisement

KUCHING, Mei 14: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berharap untuk melihat komuniti bukan Melayu di negeri ini, seperti Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan Cina dapat menguasai bahasa kebangsaan.

Menurut beliau, penguasaan bahasa Malaysia itu sangat penting di mana ia secara tidak langsung mencerminkan perpaduan masyarakat yang berbilang kaum di Sarawak.

“Saya gembira apabila ramai orang bukan Melayu di negeri ini telah menunjukkan peningkatan dalam penguasaan Bahasa Malaysia namun ini akan lebih baik kalau semua kaum boleh menguasai bahasa kebangsaan ini,” katanya ketika menyampaikan amanat semasa menyaksikan Pertandingan Forum Belia Peringkat Negeri 2018 di sini.

Advertisement

Sehubungan itu, Taib berkata akan menyumbang kepada penganjuran Pertandingan Forum Belia Peringkat Negeri supaya ia diteruskan setiap tahun.

Katanya, pertandingan tersebut amat penting untuk dijadikan sebagai platform meningkatkan penguasaan bahasa Malaysia khususnya di kalangan generasi muda negeri ini.

“Saya berharap pertandingan ini akan terus dilaksanakan supaya kita dapat bersatu dengan bahasa kebangsaan kita.

“Melalui forum ini juga, standard bahasa Malaysia di kalangan anak-anak sekolah kita akan menjadi bertambah baik,” katanya.

Pertandingan Forum Belia Peringkat Negeri 2018 telah membabitkan penyertaan 12 buah sekolah yang mewakili bahagian masing-masing.

Ia adalah bertujuan mempertingkatkan kemahiran bercakap secara umum di kalangan generasi muda selaras dengan usaha untuk melahirkan pemimpin yang berkemampuan dengan kemahiran berkomunikasi yang kompeten. — DayakDaily

Advertisement