Taib: Abang Johari mampu realisasikan Impian Sarawak Maju 2030

Perutusan Hari Raya Aidilfitri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

KUCHING, 12 Mei: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yakin kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari tun Openg mampu merealisasikan impian Sarawak menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Beliau berkata, dengan kejayaan tersebut, Abang Johari tentunya akan terus menyusun gerak kerja bagi melonjakkan kemakmuran yang dikecapi kini bagi meraelisasikan impian tersebut.

“Dengan kejayaan itu (negeri maju menjelang 2030), Sarawak akan dapat memberi peluang perkerjaan dengan pendapatan tinggi dan lumayan bukan sahaja untuk anak Sarawak tapi rakyat Malaysia pada keseluruhannya,” katanya menerusi perutusan Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini.

Taib berkata, satu pertanda positif lahir daripada usaha pembangunan dilaksanakan kerajaan Sarawak ia apabila masyarakat luar bandar khusunya di kawasan persisir dan rumah panjang berpeluang untuk bercampur dan berinteraksi antara satu sama lain.

Situasi ini, kata beliau, telah membawa kepada satu bentuk masyarakat Sarawak baharu yang lebih mesra dan bersatu padu.

“Pada keseluruhannya rakyat termasuk mereka di luar bandar dapat memahami bahawa proses pembangunan memerlukan masa dan peruntukan kewangan yang besar.

“Namun semua ini tidak menjadi halangan bagi kerajaan Negeri yang sentiasa berusaha untuk menjaga kepentingan rakyat Sarawak supaya dapat turut serta dalam pembangunan perdana bagi memastikan mereka ini boleh menikmati peluang yang dicipta oleh perkembangan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Sarawak sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk pembangunan negeri dan rakyat Sarawak dengan melaksanakan transformasi kawasan luar bandar melalui penyediaan infrastruktur asas yang seperti jalan raya, bekalan air, elektrik, kemudahan kesihatan dan pendidikan.

Katanya, kemudahan asas tersebut amat diperlukan bagi menarik lebih banyak aktiviti-aktiviti ekonomi seperti industri asas tani, perladangan komersial dan pelancongan sekaligus memberiakn lonjakkan terhadap keadaan sosio ekonomi di kawasan berkenaan.

“Selain daripada itu, kerajaan juga telah merancangkan pembangunan beberapa buah pusat pertumbuhan desa ataupun ‘Rural Growth Centre’ (RGC) sebagai salah satu strategi untuk memperkasakan transformasi luar bandar dan menyokong aktiviti ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Langkah ini sudah tentu akan memberi impak yang positif kepada masyarakat tempatan dari segi peluang perniagaan dan pekerjaan seklaigus akan merapatkan jurang pembangunan di antara kawasan bandar dan kawasan luar bandar,” katanya. — DayakDaily