Tahap Perkhidmatan Jalan Serian ke Tebedu masih pada tahap A

The Parliament of Malaysia (File photo)

KUCHING, 6 Okt: Tahap perkhidmatan jalan yang menghubungkan Serian ke Tebedu masih berada pada tahap A, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup.

Menurut beliau, ia berdasarkan pemantauan isipadu trafik terkini di stesen banci di Jalan Serian ke Tebedu.

Katanya, aliran trafik masih lancar serta mampu ditampung oleh jalan sedia ada.


“Maka, kementerian ini mendapati cadangan (projek naik taraf) belum ada dalam senarai keutamaan Kerajaan Negeri Sarawak bagi permohonan Rolling Plan 2, RMKe-12 (Rancangan Malaysia Ke-12).

“Walau bagaimanapun, kementerian ini akan meneliti cadangan projek tersebut sekiranya dimohon dalam Rolling Plan yang akan datang dan akan dipertimbangkan untuk diangkat kepada agensi pusat jika memenuhi keperluan teknikal untuk dinaiktaraf,” kata Arthur.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan MP Serian Dato Sri Richard Riot berhubung status penurapan semula dan bilakah Jalan Serian ke Tebedu akan dinaik taraf di sidang Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata sejumlah RM3.4 juta setahun diperuntukkan oleh kerajaan pusat bagi melaksanakan penyenggaraan rutin jalan di Bahagian Serian.

Jelas Arthur, jumlah panjang jalan persekutuan di Bahagian Serian yang disenggara oleh syarikat konsesi adalah sepanjang 109.20km.

“Manakala bagi Jalan Serian–Tebedu– Sempadan Indonesia adalah 41.90km yang menghubungkan Serian ke Tebedu dan seterusnya ke Entikong, sempadan Indonesia,” kata Arthur.

Tambah Arthur, peruntukan bagi penyenggaraan berkala penurapan daripada tahun 2017 hingga 2021 adalah bernilai RM22.90 juta.

Pada tahun 2021 katanya, sejumlah enam kerja pembaikan bernilai RM5.7 juta telah diperuntukkan untuk kerja-kerja menurap semula jalan yang melibatkan Jalan Serian-Tebedu. — DayakDaily