Oleh Chris Bishop
KUCHING, 6 Julai: Tahap pematuhan kepada prosedur operasi ‘standard’ (SOP) pembukaan tadika dan taska adalah sangat baik, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah.
Menurut beliau, kementerian telah melakukan pemantauan semenjak tadika dan taska dibenarkan beroperasi dan pematuhan kepada SOP adalah tinggi.
“Pujian harus diberikan kepada operator, tenaga pengajar dan kanak-kanak itu sendiri. Selama ini orang ramai risau dengan pembukaan pusat asuhan ini.
“Kanak-kanak berumur empat dan lima tahun didapati mematuhi amalan penjarakan sosial dan sentiasa mendengar arahan pengasuh.
“Jika diletakkan tanda pangkah pada satu kerusi, mereka tidak akan duduk di kerusi tersebut,” katanya menjawab soalan pemberita pada satu sidang media di Kuching hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata semua taska dan tadika di seluruh negeri akan beroperasi sepenuhnya pada 20 Julai ini.
Setakat ini, katanya, hanya taska sahaja yang telah 100 peratus beroperasi manakala sejumlah 465 tadika Kemas akan dibuka pada 15 Julai ini.
“Oleh itu, semua taska dan tadika akan beroperasi spenuhnya pada 20 Julai ini. Mereka sedang menyiapkan keperluan untuk memenuhi SOP yang telah ditetapkan,” ujar beliau. — DayakDaily