Tahanan lolos dari Penjara Puncak Borneo berjaya ditangkap semula

Suspek (tengah) berjaya ditangkap semula
Advertisement

Oleh Juetila Ozzy

KUCHING, 11 Feb: Seorang suspek kes rompak larikan diri dari Penjara Puncak Borneo selepas ditahan sementara di Pusat Tahanan Transit penjara tersebut di Jalan Puncak Borneo di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata suspek,19 tahun itu disedari melarikan diri sekitar jam 1.45 pagi dan operasi mengesan semula terus dilancarkan selepas itu.

Advertisement

Katanya suspek bagaimanapun berjaya ditangkap semula di Kampung Sinar Baru yang terletak berhampiran dengan penjara tersebut sekitar jam 8.40 pagi tadi.

“Suspek ditahan bersama tiga lagi tahanan di sebuah rumah yang dijadikan Pusat Tahanan Transit Sementara yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), serta dipasang jeriji di setiap tingkap dan pintu.

“Suspek dipercayai melarikan diri melalui bahagian siling rumah dan ia disedari selepas penjaga Pusat Transit membuat semakan melalui rakaman CCTV.

“Suspek bagaimanapun berjaya dikesan dan ditangkap semula di Kampung Sinar Baru, Jalan Puncak Borneo,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, suspek semasa ditangkap semula memakai pakaian seluar jeans serta berbaju kemeja.

Menurut Aidil juga, suspek merupakan tahanan reman penjara kes di bawah Seksyen 395/394 Kanun Keseksaan dan telah dituduh di mahkamah pada 8 Februari lepas.

“Suspek bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan ditahan untuk sebutan semula kes pada 4 Mac ini,” katanya. — DayakDaily

Advertisement