Syarikat penerbangan digesa menawarkan tambang murah untuk balik kampung sempena Gawai, Hari Raya

Datuk Seri Fadillah Yusof

KUCHING, Mei 27: Syarikat penerbangan di negara ini perlu menawarkan tambang murah untuk balik kampung bagi meraikan perayaan Hari Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut awal Jun ini, seperti yang dinikmati mereka yang menyambut Tahun Baru Cina Februari lalu.

Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) merangkap Ahli Parlimen P194 Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam kenyataan media hari ini berkata sempena Tahun Baru Cina Februari lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, telah mengumumkan tiga syarikat penerbangan tempatan (MAS, AirAsia dan Malindo) menambah sebanyak 376 penerbangan lewat malam pada tambang rendah bagi tempoh antara Januari 30 dan Februari 12 lalu.

“Kita berharap supaya kemudahan sama juga diberikan kepada mereka yang mahu balik kampung meraikan perayaan Gawai dan Raya yang akan disambut tidak lama lagi,” ujar beliau.


Walau bagaimana,Fadillah berterima kasih kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) yang telah meluluskan 851 penerbangan tambahan bagi laluan domestik sempena musim perayaan Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan Aidilfitri 2019 bermula Mei 25 hingga Jun 17 depan.

“Kita mohon supaya ia disusuli dengan langkah menyediakan tawaran tambang murah oleh ketiga-tiga syarikat penerbangan berkenaan bagi meringankan beban mereka yang mahu balik kampung meraikan Gawai dan Raya,”kata beliau. — DayakDaily