“Rakyat adalah boss”

Chong (empat dari kiri) bersama wakil masjid dan surau sekitar Batu Kitang yang menerima peruntukan zakat koperat SSM di Dewan Serbaguna Batu Kitang.

KUCHING, Mei 26: Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen meminta penduduk Sarawak mengikis anggapan yang menteri, timbalan menteri atau wakil rakyat adalah “bos” atau tuan kepada mereka.

“Kami adalah wakil rakyat, kami adalah orang gaji kepada rakyat, kami bukan bos. Menteri, timbalan menteri, kami juga bukan bos, kami adalah orang gaji untuk rakyat,” katanya ketika merasmikan Majlis Berbuka Puasa dan Pengagihan Zakat Koperat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Dewan Serbaguna Batu Kitang, di sini, hari ini.

Di majlis tersebut, Chong menyampaikan peruntukan zakat koperat SSM berjumlah keseluruhannya RM60,200 dengan RM37,200 kepada 248 orang asnaf di Kampung Batu Kitang dengan setiap mereka menerima RM150 manakala RM23,000 kepada tujuh masjid dan surau sekitar Batu Kitang.

Chong berkata dalam kerajaan pusat baru yang ketika ini, rakyat adalah “boss” dan sekiranya ada sebarang masalah dihadapi rakyat maka perkara itu mesti dimaklumkan kepada wakil rakyat, timbalan menteri atau menteri dalam kerajaan baru itu.

“Kamu (rakyat) adalah boss, jadi sebarang masalah kamu, sampaikanlah kepada kami dan adalah menjadi tanggungjawab kami untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya, sambil menambah pihaknya akan sedaya upaya membantu menyelesaikan masalah dan aduan tersebut.

Katanya urus tadbir kerajaan baru sekarang juga beza dengan kerajaan sebelum ini dengan sebarang aduan atau masalah rakyat boleh disampaikan dengan hanya satu panggilan telefon sahaja.

“Melalui nombor telefon saya, sesiapa sahaja boleh menghubungi saya, tidak ada dinding yang kamu perlu lintasi, kami semua di sini untuk kamu,” katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa dibawah pimpinan kerajaan pusat yang baru, pihaknya juga akan memastikan semua lapisan rakyat negara ini tidak tercicir dari arus pembangunan negara supaya mereka yang menjadi penerima sumbangan zakat terbabit boleh berubah menjadi pemberi sumbangan itu. — DayakDaily