Suzuki Jeep rempuh kon simen, seorang lelaki maut manakala seorang lagi parah

Keadaan kemalangan melibatkan Suzuki Jeep di KM26, Jalan Bintulu-Tatau.

BINTULU, Ogos 14: Malang menimpa seorang lelaki apabila dia terkorban, manakala rakannya cedera parah selepas Suzuki Jeep yang dinaiki mereka merempuh kon simen lalu terbalik di KM26, Jalan Bintulu-Tatau di sini awal pagi ini.

Kejadian kira-kira pukul 4.45 pagi itu mengakibatkan pemandu kenderaan berkenaan, Tiban Lubin, 49, dari RPR Tanjung Kidurong disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat cedera parah di bahagian kepala dan badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, seorang lagi mangsa yang parah akibat nahas itu dikenalpasti sebagai Lutah Akah, 55.


Katanya, siasatan awal mendapati sebelum kejadian mereka dikatakan sedang bergerak menuju ke Tatau dari arah Bintulu.

“Namun, malang menimpa mereka apabila Suzuki Jeep yang dipandu oleh Tiban dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh kon simen di sebelah kiri jalan sebelum terbalik.

“Kesan perlanggaran itu mengakibatkan mangsa (Tiban) maut serta-merta di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala rakannya turut parah sebelum dikejarkan ke Hospital Bintulu untuk menerima rawatan kecemasan,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson menambah, pihak polis sudah melakukan siasatan di lokasi kejadian dan mengambil gambar tempat insiden bagi siasatan lanjut.

Ujarnya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Bintulu untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada warisnya untuk urusan pengebumian.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. — DayakDaily