Suspek kes samun di Selangau ditangkap, polis masih buru rakan subahat

Rampasan barang kes dari suspek.

SELANGAU, 17 April: Seorang lelaki disyaki suspek kes samun bersenjata sebuah kedai serbaneka 24 jam ditangkap.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhammad Rizal Alias berkata kejadian dilaporkan berlaku pada jam 3 pagi semalam.

Katanya, ketika kejadian hanya seorang wanita iaitu penjaga premis berusia 33 tahun berada di lokasi kejadian apabila didatangi dua lelaki bertopeng pelitup muka.


Jelas beliau, kedua-dua lelaki terbabit membawa senapang patah dan parang lalu mengacukannya ke arah mangsa.

“Kedua-dua suspek kemudian melarikan diri bersama wang tunai RM522 yang diperolehi daripada mesin wang di kaunter premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Laporan polis kemudian terus dibuat oleh mangsa dan hasil siasatan telah berjaya menangkap seorang lelaki dipercayai suspek kes tersebut yang berusia 28 tahun di Batu 10 Jalan Mukah-Selangau.

“Polis turut merampas selaras senapang patah, peluru hidup, parang, pakaian serta beberapa peralatan yang digunakan semasa kejadian,” katanya.

Usaha mengesan rakan subahat suspek juga masih giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. — DayakDaily