This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 5 Jun: Seorang lelaki cedera terkena dua das tembakan di lengan dan pinggangnya dalam cubaannya melarikan diri dari pihak polis semalam.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata suspek terbabit bersama seorang wanita ditangkap ketika mendapatkan rawatan di Hospital Betong iaitu sekitar jam 1 petang.
Katanya, kedua-dua suspek merupakan antara individu yang diburu dipercayai terlibat kes mencuri kenderaan dan cubaan menbunuh.
“Pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Betong berjaya menangkap suspek lelaki tempatan berusia 38 tahun yang sedang mendapatkan rawatan akibat terkena tembakan di lengan kanan dan pinggang bersama seorang lagi suspek wanita berusia 34 tahun.
“Semakan mendapati suspek lelaki mempunyai lapan rekod jenayah kes mencuri kenderaan dan satu rekod masing-masing untuk kes menghalang penjawat awam serta cubaan membunuh orang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, dipercayai suspek bersama beberapa rakan subahatnya menaiki dua buah kenderaan jenis Toyota Hilux dan Toyota Fortuner ditahan polis untuk pemeriksaan di Jalan Sibu-Bintulu sekitar jam 3.40 pagi.
“Bagaimanapun, kedua-dua kenderaan tersebut terus memecut laju menyebabkan pihak polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah hadapan dan tayar dengan tujuan menghentikan kenderaan tersebut.
“Kedua-dua kenderaan tersebut juga merempuh sekatan jalan raya yang didirikan oleh Balai Polis Selangau dan hampir melanggar anggota yang bertugas,” katanya.
Tambahnya, pasukan polis terus mengejar kedua-dua kenderaan tersebut dan mendapati Toyota Fortuner tersebut telah terbabas.
“Bagaimanapun kesemua suspek berjaya melarikan diri dengan menaiki Toyota Hilux.
“Kenderaan Toyota Fortuner yang terbabas telah dirampas dan disahkan kenderaan yang hilang dicuri di Pasar Baru Tatau, Sarawak,” katanya.
Siasatan akan dijalankan dibawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu mencuri kenderaan motor dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana mencuba membunuh orang.
“Pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes tersebut di atas tampil menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Kes, Insp Mohd Hafez Bin A. Razak di talian 012-9677525.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang andaian yang tidak berasas,” katanya.
Siasatan terperinci akan dijalankan dari pelbagai sudut dan hasil siasatan akan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tujuan pertuduhan. — DayakDaily