Oleh Brad Rantayy
MIRI, 27 Jun: Satu kes curi buah tandan segar kelapa sawit telah dilaporkan di Bekenu.
Selepas dua tangkapan melibatkan empat suspek yang ditahan kerana disyaki mencuri buah tandan segar kelapa sawit di Batu Niah dan Kampung Kelulit, baru-baru ini, dua lagi diberkas kerana kegiatan yang sama pada petang Jumaat (25 Jun).
Kedua-dua suspek berusia 30 dan 32 tahun itu telah diberkas di sebuah rumah di Kampung Subak, Bekenu.
Kejadian kecurian dilaporkan berlaku di sebuah kebun persendirian di Kampung Subak.
Lebih kurang 700 pokok kelapa sawit dilaporkan telah ditombak oleh suspek untuk mendapatkan buah tandan segar (FFB).
Difahamkan pada Khamis (24 Jun), dua suspek tersebut bersama beberapa orang rakan mereka telah dibayar seorang pemilik kebun berdekatan untuk melakukan kerja-kerja menombak buah sawit dari kebunya.
Namun, perkara sebaliknya berlaku, apabila suspek menggunakan kesempatan mengambil buah tandan sawit dari kebun berhampiran tanpa kebenaran pemiliknya.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, tangkapan dilakukan mengikut Seksen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Kedua-dua suspek kini sedang ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut. — DayakDaily