Suspek curi kereta gagal lari dari polis

Suspek berjaya ditangkap selepas lari dari polis.

KUCHING,23 Mac: Kegiatan mencuri kereta seorang lelaki terbongkar selepas dia ditangkap ketika cuba melarikan diri dari polis semalam.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Lim Jaw Shyong, suspek yang berusia 45 tahun itu mulanya ditahan untuk pemeriksaan selepas dilihat mencurigakan di Jalan Pesisiran Batu Kawa New Township sekitar jam 6.10 petang.

Bagaimanapun, suspek enggan memberi kerjasama dan terus melarikan diri.


“Suspek tiba-tiba bertindak melarikan diri bila menyedari kehadiran polis.

“Setelah kejar-mengejar dalam jarak 200 meter akhirnya suspek berjaya ditangkap dan hasil soal siasat, dia mengaku pergi ke lokasi kejadian untuk tujuan mencuri kereta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, gerakan mengesan rakan suspek dan barang-barang kes masih dipergiatkan lagi.

“Suspek akan direman sehingga 25 Mac ini untuk siasatan lanjut,” katanya. — DayakDaily