Suspek curi cedera masuk longkang selepas dilanggar mangsa di Jalan Akasia

Paramedik dari Hospital Miri memeriksa keadaan suspek.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, Okt 6: Hasrat seorang lelaki meloloskan diri selepas mengambil sebuah talipon bimbit dan dompet dari sebuah kereta punah selepas dia dilanggar mangsa yang cuba menahannya pada tengah malam Selasa (6 Okt) di Jalan Akasia.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah, sebelum kejadian, mangsa, seorang lelaki berusia 20 tahun itu sedang tidur di dalam keretanya yang diparkir ditepi jalan sebelum suspek tiba-tiba masuk.


“Lebih kurang 12.01 pagi, ketika pengadu sedang tidur di perhentian bas Jalan Akasia Miri di dalam kereta yang dipandunya jenis Axia, kerana tidak sihat ,ketika tidur, mangsa tersedar oleh bunyi pintunya terbuka, dia terlihat seorang lelaki memakai topi keledar dan berbaju merah telah mengambil telefon bimbit dan dompetnya yang disimpan di tepi pintu kereta sebelah pemandu,” ujar Lim

Lelaki itu melarikan diri dengan menggunakan motosikal jenis skuter warna putih.

“Mangsa sempat memegang belakang skuter dan menyebabkan pengadu terjatuh lalu menyebabkan lutut kanannya terluka,” kata Lim.

Mangsa terus masuk ke dalam kereta dan mengejar suspek di kawasan perumahan Akasia dan terlanggar skuter itu daripada belakang lalu menyebabkan suspek terjatuh.

Suspek telah ditemui terbaring di dalam longkang berhampiran.

Suspek yang mengalami kecederaan itu berjaya ditahan dan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Berdasarkan siasatan awal, suspek didapati mempunyai rekod tiga kesalahan lampau berkaitan dengan dadah dan curi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana curi. — DayakDaily