Suspek ‘bom’ molotov cocktail diberkas kurang dari 24 jam kes dilaporkan

Keadaan rumah tersebut yang rosak akibat letupan molotov.

KUCHING, 8 Dis: Dua suspek yang disyaki terlibat dalam kes khianat menggunakan molotov cocktail di Kampung Beratok, di sini ditangkap kurang daripada 24 jam kes tersebut dilaporkan.

Perkara tersebut disahkan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong.

Beliau memberitahu, kedua-dua suspek merupakan penjual sayur iaitu seorang lelaki berusia 32 tahun dan seorang wanita berusia 37 tahun.


“Lebih kurang 4.40 petang, bertempat di Pasar Kota Sentosa, sepasukan JSJ IPD Padawan telah menahan seorang lelaki dan wanita bersabit dengan kes khianat.

“Kedua-dua suspek akan direman pada 8 Januari (hari ini) untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, turut dirampas daripada suspek ialah dua unit telefon bimbit untuk membantu siasatan.

“Manakala saringan awal air kencing kedua-dua suspek didapati negatif (dadah) dan mereka juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” kata Lim.

Semalam, dilaporkan satu insiden kebakaran yang disebabkan letupan molotov cocktail di Kampung Beratok pada sekitar jam 1 pagi.

Dilaporkan terdapat kerosakkan pada bahagian pintu sliding, grill dan dinding rumah berkenaan dengan kerugian dianggarkan sekitar RM3,500.

Siasatan lanjut polis berhubung kejadian masih dijalankan. — DayakDaily