Surirumah Miri hilang RM9,050, jatuh mangsa sindiket cabutan bertuah

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 24 Ogos: Hasrat seorang surirumah untuk menuntut hadiah kemenangan berupa sebuah kenderaan Ford Ranger lebur setelah terpedaya dengan sindiket cabutan bertuah.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak (JSJK), Superintenden (Supt) Maria Rasid, dalam kejadian tersebut, mangsa telah kerugian sebanyak RM9,050 selepas melakukan tujuh transaksi perbankan bagi urusan penerimaan ‘hadiah’ berkenaan.

Kejadian bermula pada dua bulan yang lepas (1 Jun) apabila mangsa mula menerima satu pesanan ringkas dari seorang lelaki menggunakan nombor 019-7125900 yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Mohd Nizam Abdullah’ beralamat di Kampung Teluk Tawar Sungai Limau Dalam 1, Yan, Kedah.

Suspek memberitahu mangsa bahawa dia memenangi hadiah cabutan tiket bertuah berbentuk sebuah kenderaan Ford Ranger.

Namun, untuk menuntut ‘hadiah’ tersebut, mangsa perlu melakukan sejumlah pembayaran untuk urusan penghantaran.

Teruja dengan berita ‘kemenangan’ itu, mangsa telah menuruti segala arahan yang diberi oleh suspek sebelum menyedari dirinya ditipu pada Ahad (23 Ogos).

Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa yang berusia sekitar 50-an setelah menyedari dirinya ditipu pada petang semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerena menipu,” ujar Maria. — DayakDaily