Surirumah lesap wang RM3,800 terpedaya oleh teman FB

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


Oleh Dean Adam

MIRI, April 28: Gara-gara teruja untuk menerima bungkusan hadiah dari seorang kenalan Facebook (FB) kononnya dari United Kingdom, seorang surirumah lesap wang simpanannya sebanyak RM3,800.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa yang berusia 34 tahun telah berkenalan dengan seorang lelaki kononnya dari luar negara.


Katanya, mangsa dan suspek kemudian saling berhubung sehingga menjadi lebih rapat.

“Suspek kemudian memberitahu dia ingin mengirim bungkusan hadiah kepada mangsa sebagai tanda perkenalan mereka.

“Seterusnya, pada April 25 lepas, mangsa telah menerima panggilan kononnya dari pihak kastam mengatakan bungkusan atas nama mangsa telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,” katanya di sini hari ini.

Mustafa Kamal menambah, suspek kemudian memberitahu mangsa bagi pelepasan barangan itu, dia perlu membayar RM3,800 sebagai cas cukai kastam dan caj penghantaran.

Katanya, mangsa yang panik dan terpedaya dengan kata-kata suspek kemudian melakukan dua transaksi pindahan wang ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek.

“Mangsa pada mulanya telah memasukkan wang sebanyak RM3,000 dan RM800 seterusnya.

“Mangsa kemudian sedar dirinya ditipu setelah akaun bank yang digunakan suspek atas nama orang lain,” katanya. — DayakDaily