Bayi 6 bulan lebam lebam, polis tahan ibu kandung di Tudan

Suspek (berdiri dua dari kanan) ditahan polis Miri untuk siastan lanjut.

MIRI, 23 Mei: Seorang surirumah ditahan polis pada petang semalam selepas dipercayai mendera dan memukul bayi perempuannya berusia enam bulan sehingga menyebabkan lebam dan melecur pada badan bayi itu di sebuah rumah di Lorong Harmoni, Tudan fasa 6 baru-baru ini.

Suspek ditahan di rumahnya sekitar jam 6 petang oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata, pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan dari Hospital Miri yang melakukan pemeriksaan badan mangsa mendapati kanak-kanak terbabit mengalami beberapa kesan luka.

Terdahulu, pada Jumaat (21 Mei), sekitar jam 11 malam, kanak-kanak tersebut telah dihantar oleh datuk dan makciknya ke Hospital Miri bagi mendapatkan rawatan perubatan susulan kecederaan yang dialaminya.

“Semasa melakukan pemeriksaan ke atas kanak-kanak tersebut, pegawai perubatan itu telah mendapati beberapa kesan luka disyaki akibat didera pada badanya,” ujar Hakemal.

Malah, menurut datuk dan makcik kanak-kanak terbabit, mangsa juga dipercayai pernah dilontar dari katil oleh ibunya.

“Mereka juga memberitahu mangsa pernah cuba memasukkan mangsa ke dalam air panas,” Hakemal berkata.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. — DayakDaily