Suri rumah rugi RM10,000 ditipu ‘Macau scam’

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

SIBU, Jan 22: Seorang suri rumah berputih mata selepas kerugian RM10,000 akibat ditipu sindiket ‘Macau scam’.

Mangsa berusia 41 tahun itu dilaporkan ditipu pada Januari 21 lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan telah menerima panggilan telefon daripada seorang yang memperkenalkan diri sebagai Chan Soo Hui daripada Bahagian Pentadbiran Ibu Pejabat Putrajaya menggunakan nombor telefon +881042221522.

Katanya, suspek kemudian memaklumkan bahawa mangsa telah berhutang dengan sebuah syarikat yang beralamat di Pulau Pinang kerana tidak membayar cukai GST sebanyak RM51,076.00 di mana mangsa dikatakan telah menjalankan perniagaan bersama dengan penama Kong Kah Fei yang tidak mangsa kenali.

“Suspek tersebut kemudian meminta mangsa untuk memasukkan duit sebanyak RM10,000 ke dalam akaun Ambank atas nama Tan Guan Liang untuk tujuan siasatan.

“Mangsa yang dalam keadaan panik dan terperdaya dengan helah suspek telah mendepositkan wang berjumlah RM10,000 di Ambank di Sibu Jaya,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, setelah memindahkan wang barulah mangsa sedar telah ditipu oleh sindiket panggilan tersebut.

Katanya, mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

“Sehubungan itu, polis menasihatkan agar pihak polis sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat atau tipu helah pihak-pihak tertentu yang menyamar sebagai pegawai atau anggota polis dan lain-lain jabatan atau agensi kerajaan dengan mengatakan anda terlibat dengan kes langgar lari, kes hutang GST, kes jenayah pengubahan wang haram, kes tuduhan mendapatkan duit daripada orang awam dan sebagainya,” katanya. — DayakDaily