Suri rumah lesap RM187,100 ditipu kekasih FB

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

BINTULU, Mac 25: Gara-gara terpedaya dengan pujuk rayu kekasih Facebook (FB) kononnya dari Amerika Syarikat, seorang suri rumah lesap wang sebanyak RM187,100 setelah ditipu sindiket ‘parcel scam’.

Wanita berusia 52 tahun itu membuat laporan polis semalam selepas menyedari telah ditipu sindiket penipuan tersebut.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan mula mengenali suspek menerusi FB pada Mac 3 lepas.

Katanya, lelaki yang berkenalan dengan mangsa itu dikenali sebagai Michael Zhang.

“Sepanjang perkenalan itu, suspek kemudian memberitahu ingin menghadiahkan bungkusan hadiah kepada mangsa kononnya sebagai tanda perkenalan mereka.

“Seterusnya, pada Mac 14 lepas, suspek kemudian memaklumkan kepada mangsa bahawa bungkusan hadiah dari Los Angeles, Amerika Syarikat telah sampai di Kuala Lumpur,” katanya di sini hari ini.

Mustafa Kamal menambah, suspek kemudian meminta mangsa perlu membuat pembayaran bagi tujuan perlepasan bungkusan hadiah itu.

Katanya, mangsa yang terpedaya dengan pujuk rayu suspek kemudian melakukan beberapa transaksi ke akaun bank yang diberikan oleh suspek.

“Selepas membuat pembayaran sebanyak RM187,100, mangsa akhirnya sedar bahawa dirinya telah ditipu.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily