Suri rumah lesap duit simpanan sebanyak RM239,000

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

MIRI, April 10: Seorang suri rumah lesap wang simpanannya sebanyak RM239,000 selepas terperdaya dengan sindiket ‘Macau scam’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan telah menerima panggilan daripada seorang lelaki kononnya seorang pegawai Kastam pada April 4 lepas.


Katanya, suspek kemudian memberitahu wanita berusia 40 tahun itu bahawa dia mempunyai hutang GST sebanyak RM45,700 kononnya bagi sebuah syarikat yang didaftarkan atas nama mangsa.

“Mangsa kemudian menafikan dia terlibat dalam perkara tersebut sebelum panggilan disambungkan kepada seorang lelaki kononnya pegawai polis bagi menguruskan kes berkenaan.

“Suspek seterusnya mengatakan mangsa terlibat dalam jenayah penggubahan wang haram sebanyak RM1.2 juta,” katanya di sini hari ini.

Mustafa Kamal menambah, mangsa yang panik telah diugut dan diberi pilihan sama ada menyerahkan diri atau membuat pindahan wang dalam akaun yang diberikan oleh suspek kononnya bagi tujuan siasatan.

Katanya, jika mangsa tidak memberi kerjasama, suspek akan menahan mangsa.

“Mangsa yang panik seterusnya mengikuti arahan suspek di mana dia dikehendaki membuka akaun bank baru dan pindahkan wang sebanyak RM213,000 ke dalam akaun tersebut.

“Mangsa juga mengeluarkan wang sebanyak RM26,000 daripada akaunnya sebelum memasukkan ke dalam akaun bank suspek.

“Mangsa akhirnya menyedari telah ditipu oleh suspek selepas dia gagal dihubungi lagi,” ujarnya. — DayakDaily