KUCHING, 3 Dis: Seorang suri rumah berusia 50 tahun di Miri kerugian RM130, 000 setelah menjadi mangsa penipuan iklan kerja sambilan.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata, mangsa yang juga seorang wanita tempatan pada awal November lepas telah melayari laman sosial tiktok dan tertarik dengan iklan kerja sambilan.
“Mangsa bertindak menghubungi seorang individu yang tidak dikenali yang berperanan sebagai ejen melalui aplikasi tiktok dan seterusnya mangsa dimasukan dalam ‘group telegram’.
“Kemudiannya suspek memaklumkan mangsa telah menerima komisen di aplikasi digital milik mangsa.
“Mangsa turut diberikan tugasan lain untuk mempromosikan syarikat jenama pakaian,” kata Mancha menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mangsa yang terpedaya telah melakukan beberapa transaksi wang secara berperingkat ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek berjumlah lebih kurang RM130,000.
Mangsa telah menyedari dirinya ditipu apabila mangsa masih dimibta untuk membuat pembayaran lain sekiranya ingin memgeluarkan komisen keuntungan tersebut.
Seterusnya mangsa telah membuat laporan polis. — DayakDaily