[Surat Kepada Editor] Respons terhadap kenyataan Chong mengenai PH tidak menjanjikan kenaikan royalti minyak tanpa syarat

Keyboard. — Dayakdaily.com file pic. // Photo: Pixabay

Surat Kepada Editor

Oleh Sabestiano Mike

Dalam sidang media oleh Timbalan Menteri KPDNHEP, YB Chong Chieng Jen, beliau dilaporkan berkata Pakatan Harapan (PH) tidak menjanjikan kenaikan royalti tanpa syarat. Beliau memberitahu Kerajaan Sarawak perlu menanggung tanggungjawab fiskal dalam pendidikan dan kesihatan untuk menerima 20% royalti minyak. Dalam kenyataan tersebut, beliau telah merujuk satu “agreement” dan menambah bahawa di bawah ‘Desentralisasi Fiskal: Percukaian & Pendapatan Awam’, PH akan memberi 20% royalti minyak dan gas atau nilai setara serta 50% daripada semua hasil cukai yang dikumpulkan di Sarawak kembali ke negeri ini jika Sarawak mengambil alih autonomi dalam pendidikan dan kesihatan.


“Agreement” yang beliau rujuk adalah New Deal Part Two bertarikh 20 Jan 2018. New Deal ini tidak mempunyai sebarang tandatangan dari mana-mana Presiden parti komponen PH. Adakah ini dikatakan agreement? New Deal ini serupa manifesto yang mana ia dikatakan sebagai bukan kitab suci. Sekurang-kurangnya manifesto mempunyai tandatangan Tun Mahathir (Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad).

Dalam New Deal ini, tidak disebut pun sepatah perkataan “Autonomy” untuk pendidikan dan kesihatan. Yang disebut hanya “Fiscal Responsibility” di mana Kerajaan Sarawak yang akan bertanggungjawab terhadap urusan perbelanjaan operasi dan pembangunan sekiranya Sarawak menerima 20% royalti dan 50% hasil cukai Sarawak. Sekiranya ia adalah bersifat autonomi, ia seharusnya melibatkan juga kuasa perundangan seperti kuasa imigresen.

Selain itu, apa yang manifesto bertarikh 8 Mac 2018 nyatakan mengenai pendidikan dan kesihatan untuk Sarawak? Ia terdapat di dalam ‘Janji 44: Memperbaiki Kualiti Pendidikan dan Khidmat Kesihatan’. Janji ini langsung tidak menyebut mengenai “Devolution of Power” atau “Autonomy”. Isi utama dalam janji ini menyatakan Kerajaan Sabah dan Sarawak akan diberi hak membuat keputusan (decision rights) dalam hal ehwal pendidikan dan kesihatan. Adakah ini “Devolution of Power” atau “Autonomy”? Adalah wajar dipersoalkan, setakat manakah skop “decision right” dari segi perundangan kerana akhirnya pendidikan dan kesihatan masih lagi di bawah Senarai Persekutuan Jadual Kesembilan? Yang ada disebut mengenai desentralisasi kuasa kepada Sabah dan Sarawak cuma mengenai dasar-dasar berkaitan perdagangan dan komersil.

Selepas New Deal Part Two dan manifesto PH diterbitkan, YB Chong Chieng Jen telah memberi surat mengenai New Deal kepada Pejabat Ketua Menteri Sarawak pada 26 Apr 2018 dan meminta Ketua Menteri untuk menandatangani surat tersebut sebagai tanda penerimaan. Dalam surat tersebut, ia menyatakan “Devolution of FULL Autonomy” untuk pendidikan dan kesihatan. Surat ini agak berlainan dengan New Deal Part Two yang hanya menyebut “Fiscal Responsibility” dan manifesto yang menyebut “Decision Right”. Ini menimbulkan satu persoalan. Adakah “FULL Autonomy” ini telah dipersetujui oleh semua Presiden parti komponen PH?

Yang lebih meragukan adalah YB Chong Chieng Jen telah memberi surat tersebut di atas kapasiti sebagai Pengerusi PH Sarawak, bukan Ahli Parlimen atau Menteri Kerajaan Persekutuan. Jadi apakah kuasa undang-undang surat tersebut? Hal berkaitan pendidikan dan kesihatan adalah di bawah Senarai Persekutuan Jadual Kesembilan. Jadi, untuk melaksanakan “Devolution of FULL Autonomy”, pindaan perlembagaan perlu dibacakan di Dewan Rakyat dan dibahaskan sebelum ia diluluskan. Mengenai perkara ini, bukan kah ianya sepatutnya melibatkan perbincangan terlebih dahulu di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri? Sekiranya anda Ketua Menteri, adakah anda akan menandatangani surat sebegini?

Pada bulan July 2018 selepas PRU ke-14, YB Chong Chieng Jen ada mengulas mengenai jawapan di Parlimen oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, YB (Datuk Seri) Azmin Ali mengenai pemberian royalti berdasarkan keuntungan dan bukan pengeluaran. Beliau menyebut lagi mengenai “TRUE Autonomy” di mana Kerajaan Sarawak mempunyai kuasa untuk menentukan polisi pendidikan dan kesihatan apabila 20% royalti dan 50% cukai dari Sarawak disalurkan kepada Kerajaan Sarawak. Selepas itu, wartawan ada meminta beliau mengulas “some people said there is a need to amend the law” dan beliau menjawab “Let’s wait for the discussions with the Cabinet Committee and the State Government”. Berdasarkan kenyataan beliau, ini menunjukkan bahawa belum ada kata putus yang melibatkan kuasa perundangan terhadap hal berkaitan pendidikan dan kesihatan. Berbalik kepada soalan sebelum ini. Sekiranya anda Ketua Menteri, adakah anda akan menandatangani surat mengenai New Deal Part Two?

Ketiga-tiga dokumen seperti New Deal Part Two yang dikatakan “agreement”, surat yang tidak mempunyai kuasa undang-undang dan manifesto adalah tidak selari mengenai hal autonomi pendidikan dan kesihatan untuk Sarawak. Oleh itu, janganlah tuding jari sekiranya Ketua Menteri tidak menandatangani surat yang tidak mempunyai kuasa undang-undang. Dan jangan hanya asyik berpolitik mengenai janji yang tidak dapat ditunaikan dan menyalahkan pihak lain.

Inilah pendapat peribadi pengarang dan tidak semestinya mewakili pandangan DayakDaily. Surat Kepada Editor mungkin disunting ringan untuk kejelasan.

— DayakDaily