[Surat Kepada Editor] Kaedah yang lebih cekap untuk subsidi petrol bersasa

Keyboard. ā€” Dayakdaily.com file pic. // Photo: Pixabay
Advertisement

Surat Kepada Editor

Oleh Sabestiano Mike

Beberapa hari lepas, laporan media mengatakan pelan subsidi bersasar untuk RON95 dan diesel sudah bersedia dan akan dihantar ke kabinet pada bulan ini untuk kelulusan. Mekanisma yang dicadangkan adalah subsidi minyak (i.e. pemberian tunai) akan dikreditkan secara terus ke akaun penerima. Kelayakan penerima pula adalah berdasarkan bil elektrik di mana golongan B40 yang mempunyai bil bulanan sebanyak RM100-RM200 adalah layak menerima.

Advertisement

Satu perkara yang perlu diketahui umum adalah subsidi pukal seperti yang dilaksanakan sekarang tidak seimbang kerana kumpulan pendapatan tinggi yang banyak menikmati manfaatnya. Pada tahun 2015, Bank Negara Malaysia (BNM) pernah menerbitkan kajian mengenai subsidi bahan api. Berdasarkan dapatan BNM tersebut, manfaat subsidi kebanyakannya dinikmati oleh kelompok 20 peratus teratas di mana kumpulan ini menerima 42 peratus daripada subsidi manakala kelompok 20 peratus terbawah hanya menerima 4 peratus.

Dari segi kesan ekonomi, subsidi bahan api ‘mengganggu’ keutamaan dan agihan perbelanjaan awam. Sepatutnya perbelanjaan perlu diutamakan kepada sektor awam yang lebih produktif seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan projek pembangunan yang dapat membantu meningkatkan pertumbuhan dalam jangka panjang.

Berbalik kepada pelan subsidi bersasar RON95 dan diesel, Timbalan Menteri KPDNHEP YB Chong Chieng Jen dilaporkan berkata bahawa kumpulan isi rumah yang berpendapatan RM3,900 ke atas tidak akan menerima subsidi dan perlu bayar mengikut harga pasaran. Pemberian subsidi kepada B40 memang perlu dilakukan untuk meringankan beban kos sara hidup mereka tetapi mengguna pakai “threshold” pendapatan nasional RM3,900 mungkin akan menyebabkan subsidi tersebut tersasar ke isi rumah yang tidak layak.

Baru-baru ini, Khazanah Research Institute (KRI) telah menerbitkan kertas kajian “Demarcating Households” yang membincangkan kaedah yang lebih sesuai untuk menentukan sebuah isi rumah kepada kumpulan pendapatan T20, M40 dan B40. KRI berpendapat bahawa penentuan B40 sedia ada tidak tepat kerana ia hanya memberitahu siapa isi rumah B40 berdasarkan paras nasional yang menetapkan isi rumah yang berpendapatan RM3,900 ke bawah sebagai B40.

Tetapi penentuan ini langsung tidak mengambil kira saiz isi rumah. Sebagai contoh, isi rumah M40 yang mempunyai 5 orang tanggungan dan isi rumah B40 (hanya suami isteri) dengan pendapatan yang sama adalah berbeza dari segi keperluan, perbelanjaan dan taraf hidup. Apabila hal ini tidak diambil kira, ini menjadikan peruntukan dan pengagihan bantuan sosial tidak disasarkan secara efektif.

Maka KRI menggunakan kaedah “equivalised income” supaya ia mengambil kira perbezaan dalam saiz dan komposisi isi rumah. Dengan kaedah ini, pendapatan diselaraskan dengan memfaktorkan saiz isi rumah dan komposisi untuk menilai taraf hidup isi rumah dengan lebih realistik. Penyelarasannya menggunakan ‘equivalence scale’ di mana keperluan dan penggunaan adalah berbeza-beza antara kanak-kanak dan orang dewasa, lelaki dan wanita.

Sebagai ilustrasi, isi rumah pertama dengan 1 orang yang berpendapatan RM5,000 dijadikan sebagai penanda aras dan “equivalence scale” nya adalah 1.0 kerana dia hanya seorang. Kemudian, terdapat isi rumah kedua di mana suami isteri mempunyai seorang anak bawah 7 tahun dengan pendapatan RM5,000 dan “equivalence scale” mereka adalah 2.609. Walaupun pendapatan nominal mereka adalah sama, tetapi ‘equivalised income’ untuk isi rumah suami isteri tadi adalah RM1,916.

Menggunakan kaedah ini, taraf hidup isi rumah kedua ini dilihat seperti taraf hidup isi rumah seorang yang berpendapatan RM1,916. Ataupun dalam erti kata lain, untuk menaikkan kesejahteraan isi rumah kedua ini seperti isi rumah pertama tadi, isi rumah kedua memerlukan sebanyak 2.609 kali pendapatan nominal RM5,000 ataupun bersamaan dengan RM13,045. Walaupun isi rumah kedua tadi mempunyai pendapatan RM5,000 yang mana tergolong dalam M40, sekiranya ‘equivalised income’ diguna pakai, mereka sepatutnya tergolong dalam kumpulan B40.

Oleh itu, selepas penyelarasan pendapatan dilakukan, dapatan KRI menunjukkan 20 peratus daripada B40 melonjak ke M40, 20 peratus daripada M40 menurun ke B40 dan 21.3 peratus T20 menurun ke M40. Dengan kajian yang diterbitkan oleh KRI, ia memberi pemahaman yang lebih baik mengenai bagaimana tahap sosioekonomi sesuatu isi rumah dinilai dengan lebih holistik. Ini adalah penting terutamanya dalam merangka polisi dan menentukan kumpulan sasaran yang lebih tepat untuk menerima bantuan sosial. Pemberian akses kepada kemudahan atau peluang seperti geran dan dana juga dapat diperhalusi.

KRI sudah menerbitkan kaedah “equivalised income” yang mana lebih baik dan cekap dalam menentukan isi rumah mana yang seharusnya tergolong dalam kumpulan B40. Kaedah ini dilihat lebih ‘bersasar’. Oleh itu, kerajaan sepatutnya mempertimbangkan kaedah atau mekanisma ini untuk menyasarkan isi rumah mana yang layak menerima subsidi minyak RON95 dan diesel. Kaedah ini nanti juga boleh dilaksanakan untuk pemberian bantuan sosial lain seperti Bantuan Sara Hidup (BSH).

Inilah pendapat peribadi pengarang dan tidak semestinya mewakili pandangan DayakDaily. Surat Kepada Editor mungkin disunting ringan untuk kejelasan.

ā€” DayakDaily

Advertisement