Chris Bishop
KUCHING, JULAI 1: Sukan Sarawak (SUKSAR) II 2019 akan diadakan di Bahagian Miri bermula 9 sehingga 14 Disember 2019.
Menteri Pelancongan, Seni, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata seperti penganjuran pada 2017, sukan tersebut adalah sebagai persiapan Sarawak untuk menghadapi Sukan Malaysia(SUKMA) 2020 di Johor.
Katanya lagi, objektif mengadakan SUKSAR juga untuk menjadikan Sarawak sebagai kuasa sukan di negara ini.
“Dengan objektif itu kerajaan negeri memberi penekanan khusus pada sukan,” katanya di sidang media dan pelancaran logo SUKSAR II 2019 di Stadium Negeri di sini hari ini.
Mengulas berkenaan SUKSAR 1, Karim berkata sukan tersebut berjaya mengcungkil atlit baru dan 132 orang telah terpilih mewakili Sarawak di SUKMA Perak 2018.
“Jumlah tersebut mewakili 19 peratus daripada kontinjen Sarawak dan 14 atlit berjaya memungut pingat,’ tegas Karim.
Menurut beliau lagi, SUKSAR 11 akan disertai empat zon dan 16 acara akan dipertandingkan di sekitar Bandaraya Miri.
Zon Utara menggabungkan Miri, Limbang dan Bintulu, Zon Tengah (Mukah, Kapit dan Sibu), Zon Barat (Sarikei, Betong dan Sri Aman) manakala Zon Selatan diwakili Kuching, Serian dan Samarahan.
SUKSAR 11 2019 akan dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 8 Disember 2019.
Turut hadir di sidang media Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan. — DayakDaily