Sukma Johor: Jurulatih mahu MSN benarkan atlet berusia 21 tahun bertanding

Dari kiri: Ahmad Fairuz, Yeo dan Liew
Advertisement

Oleh Muhammad Akmal Rizki

KUCHING, 4 April: Ketika ramai lega dengan keputusan Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) menangguhkan temasya Sukma XX susulan penularan wabak Covid-19, isu umur atlet pula menjadi dilema jika temasya dwi-tahunan itu dianjurkan 2021.

Ini kerana ramai atlet yang berumur 21 tahun pada tahun ini tidak akan dapat bertanding pada edisi ke-20 temasya tersebut di Johor tahun depan.

Advertisement

Mengikut peraturan Sukma, hanya atlet berusia 21 tahun ke bawah dibenarkan untuk mengambil bahagian dan jika peraturan itu kekal, ia bakal menjejaskan persiapan beberapa persatuan sukan dalam kontinjen Sarawak.

Paling terkesan tentunya pasukan bola sepak Sukma Sarawak, di mana hampir separuh daripada pemainnya berusia 21 tahun pada tahun ini.

“Kita mempunyai seramai lapan hingga sembilan pemain yang berumur 21 tahun dan mereka merupakan pemain utama.

“Jika peraturan umur ini masih kekal, kita akan kehilangan mereka pada tahun depan dan ia pastinya akan menjejaskan persiapan serta peluang kita,” jelas ketua jurulatihnya, Ahmad Fairuz Yunus hari ini.

Turut bimbang dengan situasi berkenaan jurulatih angkat berat Sukma Sarawak, Edmund Yeo.

Menurutnya, Sarawak bakal kehilangan peluang untuk menggondol pingat emas dan perak kerana dua atlet wanita berpotensi, iaitu Marthini Chan dan Cheerylyn Upang, tidak akan dapat turut serta jika peraturan umur itu dikekalkan.

Sementara itu, presiden Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA), Datuk Patrick Liew berharap Majlis Sukan Negara (MSN) akan mempertimbangkan saranan majlis-majlis sukan negeri untuk membenarkan atlet berumur 21 tahun bertanding sekiranya Sukma Johor dianjurkan pada 2021.

Seperti sukan lain, pasukan tenis Sarawak juga akan terkesan dengan keputusan tersebut, jelasnya.

“Kita mempunyai dua atlet yang berumur 21 tahun pada 2020. Bagaimanapun, kita perlu menunggu keputusan rasmi dari keputusan dari mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada Mei kelak.

“Saya juga telah menyuarakan hal ini kepada Majlis Sukan Negeri Sarawak dan Perbadanan Sukan Sarawak. Selebihnya kita mengharapkan pihak MSN mempertimbangkan permintaan kita agar atlet berumur 21 dibenarkan untuk bertanding,” katanya.

Jurulatih tinju, Mohamed Herman Musa pula berpendapat atlet berumur 21 tahun wajar dibenarkan bertanding jika Sukma dibawa pada tahun depan.

Ini jelasnya sebagai menghargai pengorbanan gigih mereka sejak dua tahun lepas untuk menghadapi temasya terbesar negara itu.

Jawatankuasa Tertinggi Sukma dijadual mengadakan perbincangan pada Mei depan bagi memutuskan isu umur atlet selain menetapkan tarikh Sukma Johor. — DayakDaily

Advertisement