PKP: Polis tahan 413 individu semalam

Ismail Sabri ketika sidang media.

KUCHING, 4 April: Polis telah menahan 413 individu berkaitan kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata jumlah tangkapan berkurangan 21.18 peratus berbanding dengan tangkapan pada hari sebelumnya.

“Daripada jumlah itu, seramai 380 orang direman dan 33 dijamin, manakala seramai 362 individu telah dituduh di mahkamah,” katanya pada sidang media khas Covid-19 Putrajaya, hari ini.

Tambah Ismail Sabri, jumlah tangkapan semalam menunjukkan penurunan dan berharap trend tersebut berterusan sepanjang tempoh PKP, selain menganggap pematuhan rakyat pada perintah tersebut telah meningkat.

Di samping itu, Ismail Sabri memaklumkan bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melaksanakan sanitasi awam di seluruh negara.

“Semalam, proses nyah cemar dilaksanakan di 426 kawasan di sekitar 11 buah negeri. Antara kawasan yang dinyah cemar termasuk 170 balai polis dan 380,140 perumahan rakyat di kawasan berisiko tinggi,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa semalam, seramai 1,188 rakyat Malaysia diarah dikuarantin dan seramai 711 adalah yang tiba melalui KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur).

Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang menjalani kuarantin sejak pelaksanaan PKP adalah seramai 4,933 di 90 pusat kuarantin.

Pada sidang media itu, Sabri turut menyangkal tuduhan di media sosial mengatakan bahawa penumpang yang tiba di lapangan terbang dibawa menggunakan trak atau bas penjara ke pusat kuarantin.

“Ini tidak benar, kerana semua penumpang pesawat yang akan dikuarantin dibawa dengan bas yang disediakan kerajaan. Trak hanya digunakan untuk membawa barangan sahaja,” katanya. — DayakDaily