Sukma 2024: Insentif menanti pemenang pingat emas Sarawak

Abang Johari (empat dari kiri) di Majlis Penyerahan bendera Ibu Pertiwi kepada Ketua Kontinjen Dato Gerald Rentap.
Advertisement

KUCHING, 3 Ogos: Atlet Sarawak yang memenangi pingat emas dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 bakal menerima insentif.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, jumlah insentif akan diumumkan selepas mesyuarat bersama kabinet kerajaan negeri.

“Memang kita akan beri insentif, saya akan bincang dengan kabinet untuk memberikannya kepada pemenang pingat emas.

Advertisement

“Saya tidak mahu dedahkan sekarang, kita akan maklumkan kemudian, kalau jumlahnya tidak sama seperti tahun sebelum ini, maknanya ia lebih baik,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada sidang media selesai Majlis Penyerahan bendera Ibu Pertiwi kepada Ketua Kontinjen SUKMA Sarawak di sebuah hotel di Kuching hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan hadir pada majlis penutupan Sukma 2024 iaitu pada 24 Ogos.

Sukma 2024 yang bakal membuka tirainya pada 17 Ogos ini mempertandingkan sebanyak 488 acara.

Terdahulu Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah menjelaskan bahawa insentif kepada pemenang pingat emas dalam edisi lalu adalah sebanyak RM3000.

Memandangkan Sarawak menjadi tuan rumah pada edisi tahun ini maka kadar insentif akan bertambah mahupun kekal pada jumlah sama buat penyumbang pingat nanti. — DayakDaily

Advertisement