Sukma 2024: 70 pingat emas buruan Sarawak

Abdul Karim (dua dari kiri) merasmikan Bilik Media Utama Sukma 2024.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 10 Ogos: Seminggu menjelang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21, Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mengulangi laungan mahu Sarawak muncul juara keseluruhan.

Katanya, sasaran sekurang-kurangnya 70 pingat emas dilihat realistik untuk Sarawak muncul juara keseluruhan buat kali ketiga.

Advertisement

“Untuk menjadi juara keseluruhan Sukma 2024, Sarawak perlu memperolehi sekurang-kurangnya 70 pingat emas.

“Terdapat 488 acara dipertandingkan yang menawarkan 488 pingat emas.

“Ada juga negeri lain mensasarkan jumlah pingat emas yang sama iaitu 70 untuk muncul juara,” kata Abdul Karim.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Perasmian Bilik Media Utama Sukma di Pusat Akuatik Pandalela Rinong di Kuching hari ini.

Terdahulu beliau turut merasmikan Pusat Penyiaran Sukma di Stadium Sarawak di sini.

Dalam pada itu, Abdul Karim berbangga dengan persiapan bilik penyiaran yang menggunakan peralatan canggih.

“Bilik Penyiaran ini dilengkapi dengan peralatan terkini, canggih dan sudah pasti bakal memberikan liputan terbaik,” ujarnya.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali sebelum ini iaitu pada 1990 dan 2016.

Dalam pada itu, Abdul Karim memaklumkan kesemua venue di sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri kini sudah sedia menerima kehadiran atlit-alit.

Sukma 2024 dijadual berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos ini. — DayakDaily

Advertisement