Sukan Tahunan Agensi-Agensi Islam Sarawak bakal diadakan di Kuching hujung bulan ini

Dr Abdul Rahman (empat dari kiri) menyampaikan cek peruntukannya sebanyak RM20,000 kepada wakil Lembaga Amanah Masjid Negeri Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN).

KUCHING, Julai 12: Lembaga Amanah Masjid Negeri Sarawak tahun ini akan menjadi tuan rumah dan pengelola Sukan Tahunan Agensi-Agensi Islam Sarawak 2018 yang akan diadakan di bandaraya ini bermula hujung bulan ini.

Menteri Muda Elektrik Luar Bandar, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata demikian selepas agensi-agensi Islam di negeri ini bersepakat memberikan mandat kepada Lembaga Amanah Masjid Negeri Sarawak memikul tanggungjawab terbabit.

“Sebanyak enam acara sukan terbabit akan dipertandingkan iaitu ‘ten pin bowling’, badminton, futsal, petanque, catur dan dart. Setiap agensi Islam di negeri ini akan menghantar lebih 50 peserta dan dianggarkan keseluruhannya hampir 400 peserta menyertai sukan terbabit,” katanya ketika menyampaikan peruntukannya keseluruhannya sebanyak RM55,000 kepada kelab agensi Islam di negeri ini di Dewan Undangan Negeri (DUN), Petra Jaya, di sini, hari ini.


Sebanyak tujuh kelab agensi Islam menerima peruntukan itu berjumlah 35,000 dengan setiap kelab menerima sebanyak RM5,000 iaitu Kelab Kebajikan dan Rekreasi Majlis Islam Sarawak, Kelab Sukan Jabatan Agama Islam Sarawak, Kelab Kebajikan Kakitangan Pejabat Mufti, Islamic Information Centre Avieciena Club, Kelab Kebajikan dan Rekreasi Mahkamah Syariah, Kelab Baitulmal Sarawak, Kelab Sukan dan Rekreasi Jabatan Agama Islam Sarawak.

Dr Rahman di majlis itu juga menyumbangkan peruntukannya sebanyak RM20,000 kepada Lembaga Amanah Masjid Negeri Sarawak bagi mengelolakan acara sukan agensi Islam terbabit yang akan berlangsung selama dua minggu.

“Ini pertama kali peruntukkan kepada kelab dan pengelolaan sukan terbabit disediakan saya kerana baru diberi tugas oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk membantu beliau menjaga agensi Islam di negeri ini,” katanya. — DayakDaily