Sub-kontraktor Indonesia ditangkap, disyaki buat bisnes tanpa permit di Kg Raso 2

Suspek semasa diperiksa dalam operasi tersebut

Oleh Juetila Ozzy

LUNDU: Seorang ‘sub-kontraktor’ warga Indonesia ditangkap kerana disyaki bekerja di negeri ini tanpa permit yang sah dalam operasi Op Benteng di Kampung Raso 2 di sini semalam.

Jurucakap Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak berkata lelaki terbabit ditahan semasa memandu sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda berhampiran sebuah ladang sawit iaitu sekitar jam 8 pagi.


“Semasa ditahan, didapati suspek merupakan warga Indonesia yang menjadi sub-kontraktor membuat jalan dan menyelenggara jalan di sekitar ladang sawit tersebut.

“Bagaimanapun, dia gagal menunjukkan sebarang dokumen atau permit kerja yang sah kepada pasukan rondaan menyebabkan dia ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pasukan operasi turut merampas kenderaan yang digunakan suspek.

Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu untuk siasatan lanjut.

“Suspek akan ditahan selama 14 hari di lokap Balai Polis Lundu dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. ā€” DayakDaily