Suami melecur di tangan, isteri tidak cedera selepas rumah mereka terbakar

Pasukan bomba sedang melakukan operasi memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jun 9: Seorang suami melecur di tangan, manakala isterinya tidak cedera selepas kediaman mereka di Jalan Penrissen, Batu 9, musnah terbakar awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 1.20 pagi itu turut mengakibatkan sebuah rumah kediaman setingkat jenis tidak kekal yang didiami pasangan warga emas berkenaan terbakar 100 peratus.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 1.25 pagi.

Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar kediaman pasangan suami isteri berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati kedua-dua mangsa telah keluar dari kediaman mereka, namun si suami melecur di tangannya, manakala si isteri tidak cedera, namun dia trauma akibat kejadian itu,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, mangsa lelaki yang cedera kemudian dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada pukul 2.50 pagi.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily