Suami isteri maut, seorang parah dalam nahas kereta rempuh pokok

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Oleh Dean Adam

SIBU, Nov 28: Sepasang suami isteri maut, manakala seorang lagi cedera parah selepas sebuah kereta jenis Mercedes yang dinaiki mereka terbabas lalu merempuh sebatang pokok di Batu 8 di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 3.45 petang itu mengakibatkan mangsa yang dikenali sebagai Ng Pan Tai dan Maria Theresa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah Alimat Sam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.47 petang.

Jelasnya, sejurus itu, sepasukan lapan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati sebuah kereta Mercedes dalam keadaan remuk di bahagian depannya dipercayai akibat melanggar sebatang pokok di bahu jalan berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati, mangsa wanita dalam keadaan tercampak keluar dari kereta berkenaan, manakala seorang lagi tersepit di tempat duduk penumpang hadapan,” katanya di sini hari ini.

Alimat menambah, anggota bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan peralatan khas.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dan seorang lagi mangsa yang cedera kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi itu tamat sepenuhnya selepas pihak polis membawa mayat mangsa ke hospital,” ujarnya. — DayakDaily