Oleh Brad Rantayy
MIRI, 10 Dis: Perbuatan seorang wanita bersama suaminya merosakkan kereta milik seorang lelaki menggunakan sebatang besi paip pada petang Rabu (8 Dis) membawa padah, apabila mereka ditahan polis untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, wanita tersebut ‘naik minyak’ selepas mangsa berusia 57 tahun itu menolak permintaannya untuk sejumlah wang.
Berang kerana permintaannya ditolak, wanita berusia 53 tahun dipercayai telah membawa suaminya ke rumah mangsa di Desa Pujut 2 sekitar jam 3 petang pada Rabu.
Setibanya di rumah tersebut, suspek bersama suaminya dipercayai telah bertindak memukul bonet depan sehingga remuk dan mencalar pintu bahagian kiri kereta jenis pacuan empat roda milik mangsa.
Hasil siasatan awal mendapati suspek telah menjalinkan hubungan dengan mangsa sejak 2009 namun telah berpisah pada tahun 2012.
Namun, suspek tetap menganggu mangsa walaupun telah berpisah, dan menuntut mangsa memberikannya sejumlah wang.
Tangkapan dilakukan kurang 24 jam pada hari yang sama di sebuah rumah di Jalan Maigold Desa Senadin oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri susulan laporan daripada mangsa.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, tangkapan dilakukan sekitar jam 11.50 malam.
Suspek bersama suaminya telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut, ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan Sesyen 506 Kanun Keseksaan. ā DayakDaily