Suami isteri direman bagi bantu siasatan kes tuntutan palsu RM600,000

Pasangan suami isteri dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching.

KUCHING, Ogos 1: Dua lagi individu iaitu pasangan suami isteri direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu sebanyak RM600,000 pada 2016.

Mahkamah Majistret menerusi Majistret Mohd Syukri Mokhtar telah mengeluarkan perintah tahanan reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.


Semalam, kedua-dua individu yang masing-masing berumur 53 dan 47 tahun diberkas pada pukul 3 petang.

Mereka ditahan selepas tampil memberi keterangan di Pejabat SPRM Sarawak susulan penahanan lima suspek lain pada Julai 24 lepas.

Pasangan suami isteri terbabit ditangkap kerana turut disyaki mempunyai kaitan dalam kes tuntutan palsu sebanyak RM600,000 membabitkan Biro Tatanegara (BTN).

Mereka adalah antara 43 pemilik syarikat yang dikesan terbabit dalam kes tuntutan palsu berkenaan.

Sebelum ini, Pengarah SPRM Sarawak, Razim Mohd Noor telah mengesahkan penahanan lima suspek tersebut.

Kesemua suspek yang berumur antara 34 hingga 55 tahun telah ditahan kira-kira pukul 4.30 petang pada Julai 24 lepas.

Kelima-lima suspek disyaki telah bersubahat dengan 43 buah syarikat dengan mengemukakan dokumen serta butiran palsu ketika melakukan tuntutan pembayaran kerja.

Difahamkan, jumlah tuntutan bagi satu-satu kerja berjumlah antara RM2,000 hingga RM6,000. — DayakDaily