Suami dan isteri temui ajal, Toyota Hilux rempuh lori

Keadaan dua kenderaan itu di tempat kejadian.

MIRI, Jan 2: Malang menimpa pasangan suami isteri apabila mereka maut selepas Toyota Hilux yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori batu di Jalan Miri-Bintulu di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 9.15 pagi itu telah mengakibatkan kedua-dua mangsa iaitu Ling Miaw Chong, 65, dan isterinya Chai Ching Ching, 61, meninggal dunia di tempat kejadian.

Jurucakap polis berkata, semasa kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke arah Niah dari bandaraya Miri.


Namun katanya, sebaik tiba di lokasi kemalangan, Toyota Hilux yang dipandu Ling dikatakan tiba-tiba hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah lori yang kebetulan bergerak di laluan bertentangan.

“Kesan pelanggaran kuat itu telah mengakibatkan bahagian depan Toyota Hilux berkenaan remuk teruk.

“Lebih malang, pasangan malang terbabit tersepit di tempat duduk masing-masing selain mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jurucakap polis menambah, nahas tersebut bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan kepada pemandu lori berusia 52 tahun.

Jelasnya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Miri untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga mereka.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily