‘Store karbon’ sumber pendapatan baharu — Abang Johari

Abang Johari (duduk dua dari kanan) bersama isteri, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang (dua dari kiri) memotong kek di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri DUN Samariang. Turut dilihat Sharifah Hasidah (duduk kiri).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 22 Mei: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yakin Sarawak akan memacu pendapatan Negeri melalui ekonomi hijau berteraskan tenaga yang diperbaharui dan kawasan penyimpanan ‘store karbon’.

Katanya, ia boleh diperolehi menerusi undang-undang tanah seperti yang telah dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rabu lepas.


“Idea dan rancangan bagi pindaan undang-undang di bawah kanun tanah dan hak udara di atas Sarawak akan dikuatkuasakan bagi menyimpan karbon untuk ditanam di bawah tanah tanpa memberikan kesan yang buruk kepada alam sekitar.

“Dunia menghadapi masalah perubahan global, oleh yang demikian selepas pilihan raya yang lepas saya mencadangkan untuk mewujudkan kementerian yang baharu iaitu Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar untuk menjaga alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali pada Sabtu (21 Mei).

Tambah Abang Johari, sektor ekonomi hijau berteraskan tenaga yang diperbaharui melalui era digital pada masa ini bakal meningkatkan lagi pendapatan Sarawak.

“Di Sarawak kita mesti mempertahankan kehijauan alam sekitar untuk mengumpul karbon yang dikeluar dan disimpan dalam tanah.

“Sebab itu, kita pinda (undang-undang) tanah kita supaya ada rang undang-undang dan juga undang-undang yang membolehkan kita menyimpan karbon dalam kawasan tanah.

“Tidak banyak di dunia dapat ‘store karbon’. Antara yang dapat adalah di kawasan perairan tanah Sarawak, jika berlaku kita boleh ‘store karbon’ dan siapa yang hendak menyimpan mesti bayar,” katanya. — DayakDaily