STF anjur acara “Rice to the Occasion”, bantu keluarga kurang bernasib baik

Franklin (kanan) pada acara ‘Rice to the Occasion’ di Kompleks Mahkamah Lama Kuching.

KUCHING, 21 Dis: Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF) hari ini meraikan acara “Rice to the Occasion” iaitu satu acara bantuan makanan di Kompleks Mahkamah Lama Kuching.

Menurut Ketua Pegawai Operasi STF Franklin Simon, pada tahun ini tema ‘Rice to the Occasion’ telah dipilih sebagai usaha mempromosi makanan yang berasaskan nasi.

“Pameran kepelbagaian makanan ini menghimpunkan makanan dari kaum Melayu, Melanau, Dayak, India, Punjabi dan Cina,” katanya.


Bersempena acara bantuan makanan ini kata Franklin, sejumlah 140 keluarga kurang bernasib baik di sekitar Kuching menerima bantuan makanan daripada STF.

Ini termasuk 15 keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran, 30 keluarga paliatif, dan 15 keluarga daripada kumpulan kanak-kanak yang memerlukan.

Bantuan makanan juga diberi kepada lima keluarga dari Kampung Pinang Jawa, Kampung Gita Kubur (lima keluarga), Kampung Gita Laut (lima keluarga), Kampung Gersik (15 keluarga), Kampung Boyan (15 keluarga).

Turut menerima bantuan adalah 15 keluarga dari Kampung Sourabaya Hilir dan Kampung Sourabaya Hulu.

Acara ini juga turut menerima kerjasama Kementerian Pelancongan, Kesenian, Dan Kebudayaan Sarawak, Lembaga Pelancongan Sarawak, Muzium Brooke, Food Journal, Life Span Tree Initiative, Kuching In and Out (KINO) Magazine dan Borneo Adventure. — DayakDaily