Stesen jual petrol RON95 kepada kenderaan asing diserbu

Sebuah kenderaan asing dikesan mengepam minyak petrol RON95 di sebuah stesen di Kuching.

KUCHING, 26 Julai: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah berjaya mengesan aktiviti penjualan minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing di sebuah stesen minyak yang tular di salah satu media sosial popular di Kuching hari ini.

Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sarawak Peter J Berinus Agang berkata, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut terhadap kes akan dilakukan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Kementerian telah memutuskan bahawa semua kenderaan berpendaftaran asing tidak dibenarkan untuk mengisi minyak petrol RON95 di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Tambah Peter, jika disabitkan, pesalah boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi syarikat, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mana-mana orang atau pengusaha stesen minyak yang melanggar perundangan ini boleh menyalurkan aduan lengkap dengan nama dan lokasi stesen minyak serta bukti bergambar kepada pihak kementerian,” kata Peter. — DayakDaily