Stesen baru atau tangki lebih besar untuk tangani isu kekurangan petrol di Kapit

Datuk Alexander Nanta Linggi - file pic
Advertisement

KUCHING, 5 Feb: Masalah kekurangan bekalan minyak di Kapit boleh diatasi sekiranya pengusaha stesen minyak membina tangki penyimpanan petrol baru yang lebih besar.

Alternatif lain adalah pembukaan stesen minyak yang baru, kata ahli Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi di halaman Facebook nya semalam (Feb 4).

“Mereka (pengusaha stesen minyak di Kapit) harus menggantikan tangki penyimpanan petrol yang lama dan kecil dengan tangki penyimpanan petrol baru yang lebih besar.

Advertisement

“Saya juga telah membantu pemohon-pemohon yang berminat untuk membina stesen minyak baru di Kapit dengan mengeluarkan surat sokongan kepada mereka,” katanya.

Nanta berkata demikian kerana difahamkan stesen minyak di Kapit masih lagi menggunakan tangki penyimpanan petrol lama dan kecil yang tidak lagi mampu untuk memenuhi permintaan dan keperluan harian penduduk terutamanya pada musim perayaan.

“Saya juga mahu pihak pengusaha stesen minyak sedia ada supaya lebih cekap dan peka dalam menguruskan jadual stok bekalan minyak di stesen mereka bagi memastikan bekalan tersebut sentiasa mencukupi,” katanya.

Beliau berpendapat bahawa pengusaha-pengusaha stesen minyak terbabit tidak menguruskan jadual penghantaran bekalan ke stesen-stesen minyak mereka secara berkesan dengan mengambil kira faktor-faktor seperti masa yang diambil untuk menghantar bekalan minyak ke Kapit menggunakan kapal tongkang.

Nanta malahan mendakwa telah sekian lama menggesa dan mendesak semua pihak berkaitan di semua peringkat rantaian bekalan minyak ke Kapit untuk mencari penyelesaian kepada masalah kekurangan bekalan minyak itu.

“Malangnya sehingga kini belum ada usaha penambahbaikan yang ketara daripada pihak-pihak terbabit dalam menyelesaikan masalah bekalan minyak di Kapit.

“Saya berharap agar semua pihak dapat bekerjasama dalam menyelesaikan isu ini supaya dapat mengurangkan beban kepada pengguna,” katanya. — DayakDaily

Advertisement