STB InTel dan Platform E-Learning, agenda digital ekonomi pelancongan Sarawak

Abdul Karim (tiga dari kiri) mengimbas tapak tangan pada tablet sebagai simbolik pelancaran STB InTel dan Platform E-Learning di Kuching.
Advertisement

KUCHING, 10 Mei: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) hari ini melancarkan STB InTel dan Platform E-Learning dengan kerjasama Lotus Voyager Group (LVG).

Pelancarannya telah disempurnakan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Persembahan Seni Dato Sri Abdul Karim Hamzah.

STB InTel dan Platform E-Learning merupakan usaha berterusan STB untuk mendigitalisasikan industri pelancongan.

Advertisement

Abdul Karim dalam ucapan pelancaran beliau berkata, STB InTel bakal menjadi sebahagian daripada komponen pelancongan digital Sarawak.

Katanya, ia memudahkan kementerian dan pihak yang terlibat di dalam industri pelancongan untuk memanfaatkan data yang disediakan oleh agensi kerajaan, pelancongan sebagai tambahan kepada google analitik.

“Ia juga membantu di dalam memantau keberkesanan strategi pelancongan, mengenalpasti peluang baharu dan mewujudkan inisiatif dan cadangan polisi untuk masa hadapan.

“Platform perkongsian data seperti STB InTel akan memastikan kesepaduan di antara orang awam dan sektor swasta dimana ia mewujudkan beberapa strategi promosi dan membangunkan produk yang telah dikenalpasti,” katanya.

Berhubung kerjasama bersama LVG, Abdul Karim berkata, ia adalah platform pembelajaran dan rangkaian kepada pihak profesional di dalam industri pelancongan untuk mengenalpasti destinasi dan produk pelancongan.

Sarawak merupakan negeri pertama di Malaysia yang memanfaatkan Sistem Pengurusan Pembelajaran di peringkat B2B, berhubung dan berkerjasama dengan pihak profesional di seluruh dunia.

Abdul Karim yakin ia akan memberi satu peluang luas di dalam mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan.

Semenjak modul ini diperkenalkan pada April lepas, sebanyak 1,346 operator pelancongan telah mendaftar untuk mengikuti kursus.

“Kita mensasarkan lebih 10,000 agensi pelancongan terpilih akan dilatih, mengikuti kursus sehingga penghujung tahun ini.

‘Program ini akan menempatkan 1,000 pengguna baharu pada setiap bulan dengan promosi sehingga ke India, pasaran Nordic dan ke UK pada bulan seterusnya,” katanya.

Menurut Abdul Karim, inisiatif transformasi digital ini akan meningkatkan keberkesanan dan produktiviti sektor pelancongan negeri. — DayakDaily

Advertisement