Status projek ART Kuching akan dijelaskan Menteri Pengangkutan pada sidang DUN minggu hadapan

Mazli (kiri) bersama tetamu kehormat di Majlis Berambeh Sarawak Metro di Kuching.
Advertisement

KUCHING, 10 Mei: Status Projek Autonomous Rapid Transit (ART) di Kuching akan dijelaskan secara terperinci oleh Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Mei ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro Mazli Mustaffa berkata, ia termasuk tarikh kenderaan prototaip berkuasa hidrogen ART tiba di Kuching.

“Menteri Pengangkutan akan menjelaskan semua perkara berkaitan ART pada sidang DUN minggu hadapan.

Advertisement

“Ini termasuk tarikh ketibaan kenderaan ART,” katanya ketika ditemui di Majlis Jon Berambeh Sarawak Metro di sebuah hotel di sini, hari ini.

Pada Mac lalu, Lee telah hadir untuk memeriksa prototaip yang baru siap di kemudahan CRRC Zhuzhou Institute Co Ltd di China.

Beliau turut menaiki kenderaan hidrogen tersebut selama hampir sejam bersama delegasinya yang terdiri daripada wakil Kementerian Pengangkutan negeri, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Sarawak Metro Sdn Bhd.

Kenderaan ART prototaip ini berukuran 30.2 meter panjang, 2.65 meter lebar dan 3.7 meter tinggi.

Ia boleh mencapai kelajuan sehingga 70 kilometer sejam dan mempunyai kapasiti 241 penumpang dengan susun atur tempat duduk yang disemak semula. — DayakDaily

Advertisement