SSM lancar SPPP bantu peniaga daftar peniagaan percuma

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

PUTRAJAYA, 23 Dis: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memperkenalkan dua inisiatif terbaharu hari ini bagi membantu golongan peniaga yang terjejas susulan penularan Pandemik Covid-19.

Ia menerusi Skim Pendaftaran Peniagaan Prihatin (SPPP) dan memperluaskan tawaran khusus di bawah Skim Satu Pelajar Satu Peniagaan kepada golongan belia dan ibu tunggal untuk mendaftar peniagaan mereka secara percuma.

Justeru Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyeru golongan yang layak untuk merebut peluang terbabit sekaligus dapat membantu dalam menghadapi impak daripada kesuraman ekonomi akibat Covid-19.


Katanya, golongan terbabit boleh mengemukakan pemohonan mereka secara dalam talian sama ada melalui portal ez-biz di pautan ezbiz.ssm.com.my.

“Saya percaya golongan ini tidak terlepas daripada menerima bantuan daripada kerajaan terutamanya ketika berhadapan dengan sukar ketika ini.

“Diharapkan agar inisiatif SPPP ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan bebanan yang dialami oleh golongan terjejas,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Program Jualan Kembali Ke Sekolah di sini hari ini.

Di majlis sama, Nanta turut menasihati pengguna untuk sentiasa bijak ketika beberlanja dan tahu akan hak mereka sebagai pengguna.

Katanya, sempena pembukaan sesi persekolahan pada 20 Januari depan, kementeriannya akan melaksanakan operasi khas memantau harga bagi barangan kelengkapan dan keperluan persekolahan.

Beliau berkata, operasi khas tersebut bermula semalam dan akan berakhir pada 7 Mac depan.

“Pemantauan ini dilaksanakan di peringkat peruncit sahaja yang melibatkan 10 barangan kelengkapan persekolahan iatu baju kemeja, seluar lelaki (sekolah menengah dan rendah), baju kurung, kain baju kurung (sekolah menengah dan rendah), tudung, stoking, kasut dan beg sekolah,” tambahnya. — DayakDaily