SPRM sedia bantu ahli-ahli DUN Sarawak isytihar harta – Latheefa

Abang Johari (Tengah) menyampaikan cenderamata kepada Latheefa.

KUCHING : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia untuk bangunkan sebuah sistem berkenaan dengan pengisytiharan harta terhadap setiap ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata sistem yang akan dibangunkan ini merupakan langkah seterusnya oleh pihak SPRM sejak beliau dilantik untuk mengetuai badan berkanun itu selain memastikan ketelusan sistem itu pada masa akan datang.

Menurutnya lagi, sejak usul pengisytiharan harta diluluskan di parlimen, beliau bersama pasukannya telah pergi dari negeri ke negeri bagi memastikan komitmen dan kerjasama daripada pemimpin-pemimpin serta wakil-wakil rakyat berkenaan perkara ini.


Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Kuching petang Jumaat.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai usaha kerajaan Sarawak menempatkan pegawai-pegawai integriti di setiap jabatan-jabatan kerajaan termasuk pejabat Ketua Menteri, beliau mengulas bahawa langkah berkenaan sangat dialu-alukan dan menyifatkan langkah itu juga adalah satu tahap komitmen yang harus dipuji.

Bagaimanapun pengisytiharan harta yang diwajibkan daripada pihak SPRM kepada pemimpin-pemimpin kerajaan dan wakil-wakil rakyat adalah langkah seterusnya dalam usaha meningkatkan sikap integriti dan ketelusan dalam kepimpinan. — DayakDaily