SPRM belum terima dokumen pengisytiharan harta Mirzan dan Mokhzani Mahathir

Azam (tengah) pada sidang media di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 6 Feb: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum menerima dokumen pengisytiharan harta daripada dua anak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, kedua-duanya iaitu Mirzan Mahathir dan Tan Sri Mokhzani Mahathir diberi tempoh 30 hari daripada tarikh notis.


“Mereka telah diberikan notis pengisytiharan harta mengikut Seksyen 36(1) Akta SPRM.

“Tempoh tersebut sepatutnya berakhir pada hujung bulan ini dan sehingga sekarang pihak kami masih belum menerima pengisytiharan harta daripada kedua-dua mereka,” kata Azam pada sidang media di Kuching hari ini.

Mirzan dilaporkan menerima notis tersebut pada 18 Januari manakala Mohkzani pada 26 Januari lepas.

Tambah Azam, notis pengisytiharan harta merupakan satu daripada proses siasatan berhubung tuduhan yang diterima terhadap kedua-dua mereka.

Jika gagal menghantar pengisytiharan harta katanya, Mirzan dan Mokhzani boleh dituduh dengan kesalahan gagal mengisytihar harta.

“Pendakwaan lambat lagi, siasatan kita bermula dengan notis pengisytiharan harta dan ia mengambil masa,” jelas Azam. — DayakDaily