Soup Kitchen sediakan makanan kepada lebih 20 orang sehari — Fatimah

Fatimah (dua dari kiri) membantu menyediakan makanan semasa lawatan ke Soup Kitchen di Pusat Sokongan Sosial Komuniti di Kuching.
Advertisement

KUCHING, 11 Jan: Komponen ‘Soup Kitchen’ di Pusat Sokongan Sosial Komuniti (CSSC) di Kuching mengagihkan makanan kepada 20 hingga 30 orang setiap hari.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Dato Sri Fatimah Abdullah, ‘soup kitchen’ mengagihkan makanan bermasak kepada golongan gelandangan, miskin bandar dan kumpulan yang memerlukan di sekitar Bandaraya Kuching.

“Bermula dengan hidangan makan tengah hari sahaja, terkini Soup Kitchen di CSSC Kuching juga menyediakan sarapan setiap hari, kecuali Ahad, dari jam 7 pagi hingga 10 pagi.

Advertisement

“Manakala makan tengah hari dari tengah hari hingga 3 petang,” katanya ketika ditemui pada lawatan ke Soup Kitchen di sini, hari ini.

Tambah Fatimah, perkhidmatan ini disediakan hasil sumbangan serta sokongan komuniti oleh Society for Kuching Urban Poor (SKUP) di Kuching.

Katanya, perkhidmatan Soup Kitchen telah beroperasi secara rintis pada 3 Januari 2023 dan dibuka sepenuhnya pada 9 Januari 2023.

Sementara itu, CSSC Kuching mengalu-alukan sumbangan daripada pihak korporat, pertubuhan perniagaan dan philanthropists untuk membantu Soup Kitchen dengan input makanan untuk dimasak bagi menyediakan hidangan kepada mereka yang memerlukan.

Antara input makan yang boleh disumbangkan adalah beras, sayur-sayuran, telur, mi hun dan minyak masak.

Sumbangan boleh disalurkan ke CSSC Kuching di Wisma Ho Ho Lim di Jalan Abell Kuching. — DayakDaily

Advertisement