SOP ketat cegah warga emas terdedah risiko jangkitan Covid-19 di pusat jagaan

Kelihatan Fatimah ketika melakukan lawatan Tinjauan Pematuhan Pengoperasian Garis Panduan Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Covid-19 di Trinity Elder Care di Kuching
Advertisement

KUCHING, 5 Feb: Warga emas menjadi antara golongan paling berisiko mendapat komplikasi dan kematian akibat jangkitan Covid-19 disebabkan faktor usia serta penyakit kronik yang dihadapi oleh mereka.

Justeru penjagaan golongan terbabit khususnya melibatkan pusat penjagaan perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat bagi mengelakkan berlaku jangkitan wabak berkenaan di kalangan golongan terbabit.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunaan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ketika ini sejumlah 32 buah daripada 44 pusat pusat jagaan yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak telah dipantau oleh jabatan tersebut.

Advertisement

“Menerusi pemantauan yang kita laksanakan, kita berpuas hati kerana pematuhan terhadap SOP yang ditetapkan adalah tinggi bagi setiap pusat jagaan terlibat termasuk di  Trinity Elder Care ini.

“Dalam proses pemantauan, kita melihat peranan pihak pengurusan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan semasa operasi dengan prinsip asas pencegahan dan kawalan infeksi penyakit Covid-19,” katanya menerusi satu kenyataan selepas melakukan Tinjauan Pematuhan Pengoperasian Garis Panduan Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Covid-19 di Trinity Elder Care di sini hari ini.

Fatimah (dua,kiri) menerima cenderahati daripada pihak pengurusan Trinity Elder Care ketika melakukan lawatan Tinjauan Pematuhan Pengoperasian Garis Panduan Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Covid-19 di pusat berkenaan.

Beliau berkata, mengikut statistik, kadar insiden Covid-19 bagi 100,000 populasi di Malaysia adalah paling tinggi bagi kumpulan umur 55 hingga 59 tahun dan juga 60 sehingga 64 tahun.

Golongan ini didapati agak terjejas dengan wabak Covid-19 yang mana terdapat banyak kes jangkitan dan kematian berkaitan Covid-19  adalah kalangan kumpulan umur 60 tahun ke atas.

Tambah Fatimah, pusat jagaan seperti Trinity Elder Care menjadi antara sistem sokongan kepada anak-anak yang mahukan penjagaan sempurna untuk orang tua mereka ketika mereka keluar berkerja.

Katanya, di pusat terbabit, warga emas digalakkan untuk lebih produktif, sihat dan pada masa sama berupaya menikmati kehidupan yang berkualiti.

“Apabila tamatnya waktu berkerja bagi anak-anak warga emas ini, mereka boleh membawa pulang ibu atau bapa mereka kembali bersama keluarga di mana mereka sepatutnya berada,” tambahnya. — DayakDaily

Advertisement