Sng buat laporan polis, tidak puas hati mesej ‘viral’ kait dirinya dengan kes Kemboja

Sng menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya.
Advertisement

Oleh Dean Adam

SIBU, Feb 17: Akibat tidak berpuas hati dengan mesej yang ‘viral’ dalam laman sosial dan aplikasi WhatsApp, seorang bekas wakil rakyat membuat laporan polis, hari ini.

Datuk Sng Chee Hua membuat laporan polis di Balai Polis Ulu Lanang kira-kira pukul 11.56 pagi.

Advertisement

Menurut sumber, Sng sebelum itu menerima pesanan mesej dari anaknya yang juga Ahli Parlimen Julau, Larry Sng mengenai mesej ‘viral’ yang mengatakan dirinya terlibat dalam sindiket penghantaran 47 rakyat Malaysia ke Kemboja.

Katanya, tidak puas hati dengan mesej ‘viral’ itu, lelaki berusia 71 tahun tersebut telah tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

“Sng membuat laporan polis bagi siasatan dilakukan disebabkan pesanan mesej yang ‘viral’ itu adalah sengaja memburukkan dan menjatuhkan imej dirinya sebagai bekas wakil rakyat,” kata sumber hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berkenaan daripada Sng. — DayakDaily

Advertisement