SMK St Teresa terima sumbangan RM50,000 pertama dari Ahli Parlimen Bandar Kuching

Dr Yii (tiga kanan) menyerahkan sumbangannya sebanyak RM50,000 kepada ahli jawatankuasa SMK St Teresa sambil diperhatikan Mary (tiga kiri).

KUCHING, 14 Jun: SMK St Teresa telah menerima sumbangan RM50,000 untuk membantu projek pembinaan bangunan baru sekolah terbabit yang musnah terbakar pada 2016.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii, berkata jumlah RM50,000 terbabit adalah sumbangan pertama dari keseluruhan RM100,000 yang dijanjikan untuk projek tersebut.

Beliau menyampaikan sumbangan tersbut kepada ahli jawatankuasa SMK St Teresa di satu majlis yang turut dihadiri pengetua Mary John di sekolah terbabit di sini, hari ini.


“Sumbangan RM50,000 ini merupakan bahagian pertama dari keseluruhan RM100,000 yang saya janjikan sebagai Ahli Parlimen berikutan kejadian kebakaran yang memusnahkan sebuah bangunan sekolah tersebut pada 29 Oktober, 2016.

“Saya berharap bahagian kedua sumbangan akan disampaikan tahun hadapan. Sekiranya saya mendapat lebih banyak peruntukan, saya akan memberi lebih lagi, tetapi saya telah berjanji memberi permulaan sebanyak RM100,000 bagi tempoh dua tahun ini,” katanya pada sidang media sebelum majlis penyampaian cek sumbangan itu.

Model bangunan baharu SMK St Teresa yang akan dibina selepas bangunan lamanya musnah terbakar pada 29 Oktober, 2016.

Beliau juga sudah berkomunikasi dengan Kementerian Pendidikan dan Menteri Kewangan bagi meminta pihak kerajaan pusat memberikan lebih peruntukan kepadanya untuk membantu SMK St Teresa.

“Saya sudah bercakap dengan Menteri Kewangan mengenainya dan akan terus berkomunikasi dengannya pada sesi Parlimen yang akan datang,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Yii juga menyarankan orang ramai dan bekas pelajar sekolah terbabit untuk menyumbang kepada projek pembinaan bangunan baru itu dan seterusnya meneruskan warisan sekolah terbabit yang ditubuhkan 1885 dan sekolah perempuan kedua tertua di bandar raya ini.

Sementara itu, Mary berkata sumbangan sebanyak RM50,000 dari Dr Yii akan digunakan bagi memulakan fasa kedua projek pembinaan bangunan sekolah itu.

Setakat ini, sekolah terbabit sudah berjaya memperolehi keseluruhan sumbangan mencecah RM4.2 juta, yang sudah mencukupi bagi memulakan fasa pertama projek.

Katanya, sumbangan RM4.2 juta itu diperolehi dari kerajaan negeri yang menyumbang sebanyak RM2 juta ditambah sumbangan badan bukan kerajaan dan badan korporat serta dari pelbagai aktiviti mencari sumbangan lain anjuran sekolah itu.

“Kami setakat ini masih kekurangan sebanyak RM3.9 juta bagi memulakan projek fasa kedua dan ketika ini mencari sumbangan bagi memulakannya,” katanya.

Mary menjelaskan projek fasa pertama adalah pembinaan bilik darjah dan blok pentadbiran yang bermula 14 Januari tahun ini dan dijangka siap 13 Januari, 2020, dan ketika ini sudah 15.2 peratus siap.

Manakala projek fasa kedua yang membabitkan pembinaan blok dewan serbaguna yang dijangka akan bermula September depan bergantung kepada sumbangan diperolehi pihaknya.

SMK St Teresa berharap projek fasa kedua dapat disiapkan pada September 2020. — DayakDaily