SMK Singai lakar sejarah baharu, sekolah menengah keempat dibuka di Bau

Sesi persekolahan pertama di SMK Singai, Bau.

BAU, Jun 24: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Singai di sini memulakan sesi persekolahan buat kali pertama pada hari ini.

Pembukaan sekolah itu juga telah melakar sejarah baharu apabila menjadi sekolah menengah yang keempat di daerah Bau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata, hari ini merupakan pendaftaran kemasukan pelajar Tingkatan Satu dan Dua yang dibuka bagi sesi persekolahan Jun 2018.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada bekas ADUN Tasik Biru, Datuk Peter Nansian Ngusie yang juga merupakan pengasas sekolah tersebut yang bertanggungjawab ‘membawa’ sekolah itu ke kawasan berkenaan.

“Kita sangat gembira kerana kerja-kerja pembinaan bangunan SMK Singai disiapkan sepenuhnya tiga bulan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan sebelum ini

“Satu mesyuarat berhubung pentadbiran sekolah baharu tersebut juga telah diadakan sebelum sesi persekolahan bermula,” katanya di sini hari ini.

Henry (enam dari kanan) dan Nansian (lima dari kanan) melakukan tinjauan selepas pembukaan SMK Singai, Bau.

Henry menambah, beliau juga telah menunaikan janji-janji sebagai wakil rakyat dalam memastikan projek pembinaan sekolah berkenaan siap mengikut jadual.

Katanya, pembukaan sekolah baharu itu juga adalah atas impian melihat kemajuan khususnya dalam aspek akedemik.

“Kita yakin, pembukaan sekolah ini tepat pada masa dan selaras dengan visi negara melahirkan modal insan cemerlang dalam pendidikan termasuk aspek lain,” ujarnya. — DayakDaily