Misteri kehilangan enam individu terungkai, semua ditemui selamat

Kelihatan enam mangsa yang ditemui selamat hari ini.

SIBU, Jun 24: Misteri kehilangan enam individu yang dilaporkan hilang sejak semalam akhirnya terungkai apabila mereka ditemui selamat di kawasan hutan Salem Belalang di sini hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu, Norman Matu berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 9.15 malam semalam.

Jelasnya, sejurus menerima maklumat berhubung insiden berkenaan, sepasukan empat anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat.


“Berdasarkan maklumat diterima, kesemua mangsa dikatakan keluar ke kawasan paip air graviti bagi melakukan kerja-kerja pembersihan di Sungai Gat dekat sini.

“Namun, keenam-enam mangsa dilaporkan tidak pulang ke kediaman masing-masing sebelum ahli keluarga mereka membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Norman menambah, operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari kedua hari ini akhirnya berjaya menjejaki kesemua mangsa.

Katanya, pasukan mencari dan menyelamat berjaya menemui kesemua mangsa yang berusia antara 26 hingga 62 tahun kira-kira pukul 11.30 pagi.

“Pasukan bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa yang agak kepenatan.

“Operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 11.45 pagi,” katanya lagi. — DayakDaily